Kepentingan Kemahiran Untuk Graduan Masa Depan


PENGENALAN

            Dalam persaingan dunia kerjaya yang kian mencabar, ramai pihak beranggapan sudah cukup jika graduan hanya mempunyai kelayakan akademik serta beberapa kemahiran tertentu.
Graduan yang telah menamatkan pengajian di Institusi-institusi Pengajian Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), akan berdepan dengan cabaran yang hebat dalam mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan serta kursus yang diambil semasa belajar. Bakal graduan yang bakal menamatkan pengajian akan menghadapi kesukaran dalam mencari pekerjaan, seandainya mereka kurang menguasai pelbagai kemahiran yang perlu ada dan perlu dikuasai oleh bakal graduan ketika berada di universiti. Apatah lagi budaya persaingan dalam konteks pekerjaan sama ada dalam bidang swasta atau kerajaan semakin tinggi dan seringkali menjadi punca graduan menganggur. Menurut statistik yang direkodkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2011, seramai 32,000 graduan gagal mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian dari universiti-universiti tempatan. Memiliki segulung ijazah sahaja tidak akan menjamin seseorang bakal graduan itu untuk terus memiliki pekerjaan. Banyak perkara yang akan diambil kira oleh majikan-majikan yang ingin menggaji mereka. Oleh itu, para bakal graduan sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan, selain daripada mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran, agar dapat berdepan dengan cabaran dalam persaingan dalam mencari pekerjaan pada masa akan datang.

            Dalam konteks kesukaran graduan mencari pekerjaan ini, bukan kredibiliti bakal graduan itu sahaja dipersoalkan, malah kredibiliti universiti-universiti yang melahirkan para graduan itu juga turut sama menerima tempiasnya, terutama sekali dalam mempersiapkan mereka mendepani cabaran dalam mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan ijazah yang dimiliki. Secara umumnya, bakal graduan perlu menitik beratkan beberapa kemahiran yang perlu dikuasai ketika berada di kampus, agar dapat berdepan dengan cabaran dalam mencari pekerjaan, seterusnya mampu melahirkan modal insan kepada negara. Bagaimanapun, menurut satu kajian yang dijalankan badan bukan kerajaan di New York mendapati selain mempelbagaikan kemahiran diri, penting graduan atau bakal graduan mempunyai lebih kemahiran lain. Terdapat beberapa kemahiran yang akan dinilai oleh majikan-majikan yang ingin mengambil para bakal graduan menjadi pekerja.


KEMAHIRAN YANG PERLU DIKUASAI OLEH GRADUAN


1)    Kemahiran Berkomunikasi

            Kemahiran yang paling utama dan perlu dikuasai oleh bakal graduan ialah Kemahiran Berkomunikasi. Kemahiran ini merupakan kemahiran paling asas yang perlu diutamakan kerana majikan akan meneliti dan menguji graduan sama ada  mereka mempunyai kemahiran berkomunikasi ataupun tidak. Memandangkan pada masa ini Malaysia merupakan salah sebuah negara yang pesat membangun, maka tidak hairanlah mengapa Malaysia pada masa ini dibanjiri oleh pelabur-pelabur asing yang ingin menjalankan perniagaan yang sesuai dengan iklim ekonomi negara. Secara tidak langsung, situasi ini akan memerlukan tenaga kerja mahir yang pastinya boleh berkomunikasi dengan baik, terutamanya dalam bahasa inggeris. Bukan sahaja hanya mampu bertutur dengan fasih, tetapi juga menguasai secara lisan. Ini kerana, penguasaan terhadap bahasa inggeris seperti berkomunikasi dengan baik, akan membolehkan bakal graduan menghasilkan idea yang kritis dan kreatif untuk membantu menarik minat pelabur agar mengikat perjanjian perniagaan.

            Selain itu, kehendak pelanggan dalam urusan perniagaan juga dapat difahami dengan jelas dan baik. Apabila penguasaan kemahiran berkomunikasi ini dapat dikuasai, maka keyakinan majikan terhadap bakal graduan akan menjadi lebih tinggi. Penguasaan kemahiran berkomunikasi dengan baik, terutama sekali dalam bahasa inggeris juga mampu membantu survival bakal graduan dalam cabaran pencarian kerjaya yang bersesuaian dengan bidang dan kemahiran yang mereka ada. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa penguasaan dalam bahasa inggeris umpama penentu kepada graduan agar lebih berkemampuan bersaing secara efektif dalam pasaran kerja.




2)    Kemahiran Berpasukan

            Kemahiran kerja berpasukan adalah berbeza daripada kerja individu. Kerja berpasukan memerlukan seseorang itu untuk bekerja dengan lebih ramai orang tetapi dalam satu kumpulan. Ia memerlukan Komitmen yang sangat tinggi oleh para graduan.  Sebagai contoh, seseorang itu perlu menunjukkan dia adalah seorang pemain di dalam pasukan tersebut, selain mampu dan berkeupayaan untuk menguruskan dan menjadi wakil dalam tanggungjawab yang diberikan. Selain itu, bekerja di dalam satu pasukan juga menuntut agar seseorang itu mampu membina hubungan yang positif dengan rakan sekerja yang lain, sekaligus dapat membantu mencapai matlamat kerja dan objektif perniagaan yang dijalankan, malah mampu meningkatkan kualiti kerja secara berpasukan.

            Oleh itu, penting kepada graduan agar dapat menguasai kemahiran bekerja secara berpasukan agar mereka dapat menjalankan kerja sekiranya diminta menguruskan sesuatu urusan secara berkumpulan. Pendedahan yang diberikan ketika menjalankan sesi praktikal perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh para bakal graduan, kerana ketika sesi praktikal inilah mereka akan didedahkan dengan pengalaman kerja secara berkumpulan serta membina hubungan dengan rakan sekerja kerana kerja berpasukan bertindak sebagai nadi untuk keseluruhan pasukan untuk berkembang dengan lebih cepat.




3)    Kemahiran Penyelesaian Masalah

            Kemahiran ini adalah di antara kriteria yang paling penting dan utama kepada majikan dalam mencari pekerja. Bakal graduan perlulah cuba untuk memajukan diri dengan mempersiapkan diri mereka di dalam menguasai kemahiran ini. Dalam apa jua bidang yang diceburi, semuanya tidak akan pernah terlepas daripada menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul di dalam kerja. Bakal graduan seharusnya lebih bersedia dari pelbagai aspek seperti aspek mental kerana penyelesaian masalah merupakan proses pemikiran yang melibatkan mental dalam mengatasi halangan ketika melakukan sesuatu tugasan sewaktu bekerja. Walaupun boleh mendatangkan cabaran, namun kejayaan dalam menyelesaikan masalah itu akan menimbulkan keseronokan kepada bakal graduan. Malah, dari satu sudut pula, kemahiran penyelesaian masalah ini perlu dikuasai kerana ini merupakan satu kelebihan kerana dapat menyelesaikan sesuatu permasalahan dari pelbagai aspek yang datang.

            Maka, bakal graduan perlu mengambil peluang yang ada ketika menjalani praktikal untuk terlibat dalam situasi yang memerlukan penyelesaian masalah dengan memberi sumbangan idea yang bernas bagi menyelesaikan sesuatu  masalah yang timbul sewaktu bekerja. Kemahiran ini juga adalah di antara kriteria penting yang perlu ada pada bakal graduan di dalam proses mencari kerja kelak kerana kemahiran penyelesai masalah ini  mendapat permintaan yang tinggi di pasaran kerja dan mempunyai peluang yang besar untuk pergi lebih jauh dalam sesuatu bidang pekerjaan.


.

4)    Kemahiran Kepimpinan

            Selain itu, Kemahiran Kepimpinan juga perlu dikuasai oleh bakal graduan. Kepimpinan tidak semestinya mengenai individu yang berkuasa mengarahkan orang lain. Sebaliknya, ianya adalah nilai-nilai yang penting dalam memupuk kerjasama, berusaha ke arah matlamat yang sama, dan bertindak sebagai pemimpin dalam apa-apa peranan yang ditanggung, tidak kira sama ada ia memenuhi definisi klasik pemimpin. Kejayaan sesebuah perniagaan atau jatuh bangunnya sesuatu itu adalah berdasarkan kepada kemahiran kepimpinan oleh pemimpin itu sendiri. Kriteria ini juga sangat penting untuk dikuasai oleh bakal graduan. Walaupun bakal graduan tidak akan memegang jawatan tertinggi secara terus ketika menceburkan diri di dalam bidang pekerjaan, namun mereka perlu menunjukkan potensi sebagai seorang pemimpin, yang mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan, seterusnya melaksanakan tugas tersebut kerana ciri-ciri kepimpinan juga akan dinilai oleh majikan. Mereka juga perlu mampu menunjukkan potensi dalam memotivasikan serta memberi dorongan kepada rakan sekerja yang akan bekerja bersama mereka kelak. Apa yang paling penting di dalam sikap kepimpinan ini ialah, bakal graduan perlu tahu tentang tugasan yang diterima seterusnya melaksanakan tugasan yang diberi dengan baik, menghantar tugasan tepat pada waktunya serta menunjukkan kepimpinan dengan memberikan contoh yang baik kepada rakan setugas yang lain. Kemahiran Kepimpinan sebenarnya telah dipupuk ketika menuntut di universiti di kalangan para bakal graduan, samaada secara langsung mahupun tidak langsung oleh para pensyarah.




5)    Kemahiran Pengurusan

            Seterusnya, bakal graduan perlu memiliki Kemahiran Pengurusan. Melalui kemahiran ini, majikan akan menilai kemampuan graduan menguruskan sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan kepadanya. Malah, majikan juga akan mempastikan juga sama ada graduan itu mampu melakukan kerja secara efisien dan produktif ataupun tidak bagi menjamin kualiti kerja yang baik serta pada tahap yang diingini. Dalam kemahiran pengurusan ini, perkara yang sangat penting juga ialah pengurusan masa. Kemampuan mengurus yang baik terutamanya di dalam memutuskan untuk melakukan kerja yang perlu diberi keutamaan dan fokus serta perlu diselesaikan mengikut masa juga akan diambil kira oleh majikan. Kemahiran pengurusan yang baik adalah bonus buat sesuatu organisasi kerana bukan sahaja mempunyai pekerja yang cekap dan efisien dalam melakukan tugasan yang diberi, tetapi juga sebagai jaminan kepada penghasilan kerja yang berkualiti, malah mampu memuaskan hati pelanggan.





CADANGAN KEPADA INSTITUSI PENDIDIKAN ATAU BADAN KERAJAAN BAGI MEMASTIKAN BAKAL GRADUAN DILENGKAPI DENGAN KEMAHIRAN-KEMAHIRAN YANG DISENARAIKAN


            Berdasarkan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh bakal graduan seperti yang terdapat di atas, maka adalah perlu bagi para bakal graduan itu sendiri, dengan inisiatif yang ada, agar dapat menambah kelengkapan di dalam memiliki kemahiran-kemahiran tersebut. Selain itu, pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti badan-badan kerajaan dan institusi-institusi pendidikan rendah atau tinggi perlu mengambil langkah yang produktif agar dapat mempersiapkan bakal graduan dalam menghadapi cabaran dalam globalisasi pencarian kerjaya agar mampu bersaing, malah setanding dengan tenaga-tenaga mahir yang terdapat di luar sana serta di lahirkan oleh universiti-universiti lain. Secara amnya, bakal graduan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab itu perlu menitikberatkan penguasaan Kemahiran Insaniah di kalangan bakal graduan, kerana kemahiran ini adalah merupakan rangkuman kepada aspek kemahiran generik, iaitu aspek kemahiran yang sangat diperlukan dalam dunia pekerjaan yang bersifat global. Maka wajiblah bagi bakal graduan perlu menilai dan menepati kehendak pasaran kerja yang kian mencabar. Apatah lagi dengan perubahan teknologi pada masa ini yang sangat pantas.





CADANGAN KEPADA INSTITUSI-INSTITUSI PENDIDIKAN


            Antara cadangannya ialah, pendedahan awal dari aspek kerjaya kepada bakal graduan. Institusi-institusi pendidikan perlu mengambil kesempatan, agar memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah khasnya tentang kerjaya yang ditawarkan kelak dengan mengikuti pengajian yang ditawarkan di universiti-universiti tempatan. Dengan adanya pendedahan ini kepada murid-murid sekolah, maka secara tidak langsung akan dapat membantu mereka lebih bersedia dari awal mengenai bidang yang ingin diceburi kelak ketika melanjutkan pelajaran di universiti. Mereka akan dapat mengumpul seberapa banyak keperluan yang penting, seperti kemahiran-kemahiran insaniah yang perlu dikuasai dan dimiliki sebelum melangkahkan kaki ke gerbang kerjaya kelak.

            Sebagai contoh, ekspo kerjaya yang diadakan di sekolah-sekolah menengah adalah bertujuan untuk memperkenalkan bidang kerjaya yang memerlukan tenaga mahir kelak sekaligus memberi mereka persediaan agar dapat bersedia berdepan dengan situasi sebenar alam kerjaya yang mencabar. Pihak institusi-institusi pendidikan yang berkaitan juga perlu mengadakan program berkaitan dengan keusahawanan, kerana melalui program ini bakal graduan akan dapat mengaplikasikan kebolehan yang mereka ada untuk menghasilkan produk atau menjual produk. Dengan adanya lebih banyak lagi program keusahawanan ini, lebih banyak manfaat serta kemahiran insaniah yang dapat dipupuk serta dikuasai oleh bakal graduan.






CADANGAN KEPADA BADAN KERAJAAN


            Cadangan kepada badan kerajaan pula ialah perlu wujud kerjasama antara badan kerajaan yang berkaitan dengan institusi-institusi pendidikan tempatan. Badan kerajaan yang berkenaan ialah Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran, selain badan-badan kerajaan lain yang berkaitan dengan pelbagai bidang. Dengan adanya kerjasama ini, maka akan lebih banyak lagi program dapat diadakan dalam membantu bakal graduan meningkatkan lagi tahap kreativiti mereka, sekaligus dapat mengetengahkan lagi bakat serta membantu mereka mempersiapkan diri berdepan cabaran global pasaran kerja dan mengasah lagi kemahiran insaniah yang perlu ada dalam diri untuk mencari pekerjaan kelak dengan berasaskan program-program yang mampu merangsang kemahiran berfikir mereka.

            Sebagai contoh pada masa ini, pihak berkenaan menganjurkan Pertandingan Robotik, yang bertujuan untuk mendidik bakal graduan dalam menghasilkan karya yang canggih untuk manfaat generasi akan datang. Pihak-pihak berkenaan juga perlu memperbanyakkan lagi program-program seperti rekacipta dan program-program yang dapat membantu meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi bakal graduan ini terutamanya dalam bahasa inggeris, program-program yang mengutamakan kepimpinan dikalangan bakal-bakal graduan serta program-program yang memerlukan bakal graduan berhadapan dengan orang ramai bagi meningkatkan tahap keyakinan diri mereka.

 


Comments